Nama saya Nur Laila. Saya adalah
seorang Muslimah yang telah mengikut dan mentaati segala-gala yang telah
diajari oleh ibu-bapa saya, terutamanya dalam hal-hal iman dan keislaman.
Tetapi walaupun begitu, semakin saya lebih membesar, hati dan jiwa saya masih
kekosongan sahaja walaupun saya telah mencari jawapan soalan-soalan kehidupan
dari agama Islam serta ajaran-ajarannya.
Pada satu hari, saya telah
terjumpa dengan jawapan serta penyelesaian kepada segala keruncingan dan
keresahan rohani di dalam jiwa dan hati saya. Sejak waktu itu, saya telah dapat
mengenalNya lebih mendalam lagi, hari demi hari.
Saya dilahirkan dalam keluarga
Islam. Ibu dan bapa saya adalah pengikut Islam yang cukup warak dan bertakwa.
Datuk saya telah mengajar saya mengaji al-Quran sejak saya berumur empat tahun
sampai saya mencecah tujuh tahun. Sebagai seorang Muslimah yang bertaqwa, saya
menunaikan ibadat solat saya lima kali sehari dan telaah pengajian Islam dari
jam 6 petang sampai 8.30 malam setiap hari Sabtu ke Khamis.
Sesudah selesainya pembelajaran
di sekolah menengah, pendidikan saya dilanjutkan lagi di institut pengajian
tinggi (IPT) di mana saya telah belajar pendidikan biasa dan juga pendidikan
Islam. Saya telah mempelajari begitu banyak tentang agama Islam, serta
mendalami ilmu-ilmunya dengan cukup mantap, walau pun begitu, Islam tidak mampu
menenangkan jiwa saya atau menghasilkan kehidupan yang bermakna atau pun
menjadi panduan hidup bagi saya secara serius. Keadaan dalam hati dan jiwa saya
masih lagi kosong dan gelisah sahaja dan saya tidak pernah menikmati apa yang
difahami sebagai kasih-sayang Tuhan Allah agama Islam itu!
Setelah mendalami telahaan dan
pengajian agama Islam, saya dapati bahawa seolah-olah kasih-sayang Allah itu
bukanlah kasih sayang Tuhan yang sebenar atau kesayangan yang sesungguhnya.
Lebih-lebih lagi, kasih sayang Allah agama Islam adalah amat terbatas dan
bersyarat sekali; saya terpaksa melakukan segala macam hal dan peraturan supaya
saya melayakkan diri untuk dapat mengalami kasih-sayang-Nya, yaitu ‘irrahman
dan arrahim-Nya’! Saya tidak menimbulkan soalan-soalan seperti ini kepada
orangtua saya kerana mereka menganggapi pertanyaan seperti itu adalah ‘dosa
besar’!
Pada suatu hari, sesudah saya
menunaikan ibadah solat saya kepada Allah, saya telah menangis dan rasa haru
menyelubungi saya oleh kerana saya tidak dapat mengenal atau merasa apakah itu
kasih dan sayang Allah swt itu! Tidak lama kemudian, saya telah membuka radio
saya dan kebetulan sekali, tepat pada saat itu merupakan siaran steyen radio
Kristian. Seorang wanita Kristian sedang membaca daripada Kitab Suci Injil,
Matius fasal 11 ayat 28, yang berbunyi :
‘Sayidina Isa berkata: “Marilah
kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah dan menanggung beban berat, Aku akan
memberikan kelegaan bagimu.“‘
Saya telah berfikir pada diri
saya : “Siapakah Sayidina Isa ini, yang mampu dan sanggup menganugerahkan
kelegaan kepada umat manusia yang berbeban berat? Saya masih ingat mengatakan
kepadaNya, “Kalau Engkau sungguhnya Ilahi, dan Sayidina Isa yang sebenarnya
telah menyatakan seperti itu, tolonglah, biarlah saya mengenal Engkau!“
Pada Tahun Pertama saya di
Universiti, saya dijemput ke satu keramaian oleh teman-teman saya. Kebanyakan
mereka di situ adalah orang beragama Kristian. Saya telah mendengar cerita
tentang Sayidina Isa Al-Masih sekali lagi. Satu ungkapan yang cukup unik telah
menarik perhatian saya, yakni: “Sayidina Isa mengasihi anda.” Saya teringat
pada masa yang lalu, di mana pencarian saya bagi kebenaran kasih-sayang Allah
swt adalah hampa sahaja. Jadi pada saat itu, saya teringin untuk kenali
siapakah Sayidina Isa itu sebenarnya kerana jika Dia sesungguhnya mengasihi
saya, saya akan menjadi pengikutNya yang setia! Oleh sebab itulah, saya telah
berkata kepada Sayidina Isa : “Sayidina Isa Al-Masih, jika sesungguhnya Engkau
ilahi, dan mengasihi saya, izinkanlah saya mengenal Engkau!“
Dua malam kemudian, sambil tidur
saya telah bermimpi. Mimpi saya itu tampakkan satu cahaya yang sangat indah di
depan pintu rumah saya! Saya ingin menjamah cahaya itu, tetapi kaki saya
tersangkut kepada lantai pula! Pada waktu yang sama, terdengar suara ibu saya
:”Jangan mendekati cahaya itu.” Saya telah terjaga dengan tiba-tiba dalam
keadaan berpeluh. Saya kurang faham apakah maksud cahaya indah itu dan
menceritakannya kepada teman Kristian saya tentang mimpi saya dan dia
menjelaskan bahawa saya harus menelaah Kitab Injil untuk mendapati jawapannya.
Dan jawapannya terdapat di dalam nas Injil, Yahya fasal ayat 5:
“Selagi Aku ada di dunia ini,
AKULAH TERANG DUNIA.”
Begitulah bunyinya kata-kata
Sayidina Isa dan sesungguhnya Baginda adalah terang dunia. Saya menginsafi pada
saat itu juga Baginda inginkan saya sedar dan mengakui bahawa Dialah
satu-satunya Terang Dunia dan saya harus mengikuti jalan Baginda! Sejak mimpi
saya itu, saya telah membaca, mengkaji dan menelaah kitab Perjanjian Baru dalam
Kitab Suci Injil pada setiap hari. Semakin saya mendalami ilmu pengetahuan saya
dalam Sayidina Isa Al-Masih dan menginsafi siapakah Baginda sebenarnya, semakin
jelas sekali bahwa konsep Isa Al-Masih di dalam Islam dan al-Quran amatlah
dangkal sekali!
Saya telah menyerahkan segala
jiwa dan kehidupan saya ke dalam genggaman Sayidina Isa! Saya juga telah
khuatir akan perhubungan saya dengan keluarga saya kerana mereka adalah Muslim;
dan saya, sebagai seorang pengikut Sayidina Rabbani isa Al-Masih mungkin akan
menganiayai saya. Walau bagaimanapun, Tuhan Allah telah memberkati hikmat-Nya
kepada saya untuk bertahan segala macam rintangan dan cabaran. Jikalau iman
saya tidak tabah, keluarga saya tidak akan dapat mengenali Tuhan dan Allah yang
sebenar. .
Kemudian, Tuhan menganugerahkan
saya mimpi-mimpi yang telah menjadi nyata! Walau pun bahasa ibunda saya bahasa
Melayu, saya juga fasih dalam bahasa Thai. Satu daripada mimpi tersebut
melibatkan keluarga sahabat saya yang mana ibu-bapanya mempelajari bahasa Thai
daripada saya. Di dalam mimpi saya itu, mereka berada di atas sebuah bukit dan
keadaan di sana sangatlah kering. Mereka kelihatan sangat letih dan tiba-tiba
anak lelaki bongsu mereka telah jatuh tergelincir ke dalam lembah di bawah bukit
itu. Mereka sangat gelisah tentang anak mereka itu dan menangis bersedu-sedu
kerana keadaannya. Pada saat itu, saya pun telah tiba-tiba terjaga dari tidur
dan sedari bahawa Tuhan Allah inginkan saya mendoakan bagi keselamatan keluarga
di dalam mimpi saya itu. Dua hari kemudian, seorang teman memberitahu saya
bahwa keluarga ini sedang berada di dalam hospital dan anak lelaki bongsu
mereka juga dimasuki ke hospital dalam keadaan yang serius.
Syukur Alhamdulillah! Setelah
saya mendoakan untuk mereka serta untuk pemulihan mereka sekeluarga, di dalam
nama Sayidina Isa Al-Masih, mereka semua telah sembuh dan kesihatan mereka
sudah pulih kembali seperti biasa 100 peratus! Mimpi-mimpi dari Allah seperti
inilah telah menolong saya mengukuhkan iman saya di dalam Allah serta di dalam
Jalan-Nya yang benar – yakni Sayidina Rabbani Isa sendiri, yang telah
menyatakan :
“Akulah JALAN, KEBENARAN dan
HIDUP. Tidak seorang pun datang kepada Tuhan Allah kecuali melalui Aku.”
Yahya 14 ayat 6.
Dua tahun kemudian sesudah
peristiwa mimpi tersebut, saya telah memeluk ajaran Injil serta menerima
Sayidina Isa Al-Masih sebagai penebus dosa saya dan juga sebagai Rabbi dan
Tuhan saya sendiri! Saya juga telah menjelaskan kepada ibu saya sebab-sebab
mengapa saya membuat keputusan tersebut. Seperti biasa, dia menganggap bahwa
saya melakukan sesuatu yang ‘kurang bijak’, akan tetapi, saya memberitahukan
kepadanya bahawa saya telah mengenal Tuhan Allah yang sesungguhnya hakiki dan
benar. Orangtua saya kurang senang dengan keputusan saya untuk menjadi seorang
pengikut Sayidina Isa Al-Masih. Inilah reaksi yang lazim bagi ramai umat Islam
khasnya apabila mereka cuba menangani orang Islam yang telah menolak ajaran
Islam dan ingin menjadi pengikut Sayidina Isa yang sejati walaupun atas
sebab-sebab yang cukup wajar! Walaupun begitu, sebagai seorang yang sudah
dewasa, mereka sedar bahwa keputusan saya ini harus dihormati oleh semua
phak.Saya telah pun serahkan keluarga saya yang tersayang ke dalam tangan Allah
swt, dan saya yakin mereka juga akan menginsafi siapakah Tuhan Allah yang
sebenarnya serta memeluknya dengan sebulat hati.
Thursday, 23 September 2010, 4:06 | Category : Pindah Agama
Tidak ada komentar:
Posting Komentar